SEJARAH PAS KEDAH

Semenjak PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan pembentukan  Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 November 1951, tokoh ulamak Kedah, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol, Yang Dipertua Persatuan Ulamak Kedah (PUK) (yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah), telah dilantik sebagai Naib Yang Dipertua PAS bagi kawasan Utara. Turut dilantik ialah seorang lagi tokoh Umno Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid (Setiausaha PUK) sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Atas usaha mereka, pada 2 Februari 1952, satu Majlis Penerangan PAS telah diadakan kepada PUK oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki. Dalam majlis ini, telah timbul cadangan supaya PUK menjadi ahli gabungan PAS, tetapi cadangan ini ditangguhkan. Walaupun cadangan ini ditangguhkan, beberapa tokoh ulamak di kaki Gunung Jerai ini iaitu Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Madrasah an-Nahdhah, Bukit Besar), Tuan Guru Haji Yahya Junid (Madrasah Khairiyah, Padang Lumat), Tuan Guru Haji Hussin Che Dol (Madrasah al-Akhlak as-Salam, Guar Chempedak), Tuan Guru Haji Pak Mid Ibrahim Bukit Besar, Tuan Guru Haji Ahmad Yusof dan lain-lain mengambil inisiatif menubuhkan cawangan PAS di Kedah, terutama setelah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952 memutuskan supaya PAS menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu, dan pada 8 Mei 1952 PAS Cawangan Perlis telah berjaya ditubuhkan.

Dengan menggunakan kereta Morris monor K4088 milik Tuan Guru Othman al-Yunusi, mereka bekerja siang dan malam bagi memperkenalkan perjuangan PAS ke seluruh negeri Kedah. Hasilnya mereka telah berjaya  menubuhkan PAS Cawangan Bukit Besar pada 6 September 1952 yang membolehkan mereka menyertai Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953.

Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi, Mudir Madrasah an-Nahdah yang juga merupakan anak murid kepada Tok Kenali telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang pertama manakala Ustaz Ahmad Shukri Abdul Syukur sebagai Setiausaha dan Tuan Guru Haji Ahmad Yusof sebagai Penolong Setiausaha. Sebuah rumah di pekan Guar Chempedak telah disewa untuk dijadikan pejabat pertama PAS Kedah namun menghadapi masalah sewa bulanan dan komunikasi.  Akhirnya tampil seorang guru besar sekolah Inggeris Sungai Petani iaitu Tuan Syed Jan Al Jafri membantu dari segi kewangan untuk bayaran sewa dan pemasangan telefon. Tidak lama selepas itu, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi terpaksa melepaskan jawatan sebagai pesuruhjaya atas kesibukan di madrasahnya lalu menyerahkan kepimpinan PAS Kedah kepada tokoh muda intelek ketika itu, Dato’ Abu Bakar Umar.

Setelah PAS Kedah berjaya menubuhkan cawangan pertama di Bukit Besar, Ustaz Ahmad Azam pula menubuhkan cawangan seterusnya di Bukit Aping (Bandar Baharu) dan diketuai oleh Ustaz Ghazali Haji Mohamad. Pada tahun 1954, penubuhan PAS dilakukan oleh Ustaz Salleh Shafei di rumah Hasyim Abdul, Simpang Empat Kampung Ubi, Labu Besar. Ustaz Salleh diangkat menjadi ketua cawangan pertama yang dikenali sebagai Kulim utara.

Di Baling, seorang tokoh tidak dikenali yang mula-mula mengenalkan PAS kepada masyarakat di sana terutama kepada Tok-tok Guru Pondok dan Madrasah pada tahun 1955. Beliau ialah Haji Salleh Yahya atau Pak Su Leh bersama rakannya Awang Bongsu. Selepas berjaya mengembangkan PAS di Baling yang berpusat di Kupang, Pak Su Leh yang turut terlibat semasa penubuhan PAS di Seberang Perai telah berhijrah pula ke Sik pada tahun 1957 untuk meneruskan perjuangan PAS. Antara usaha awalnya ialah dengan menjemput 3 orang pimpinan PAS ketika itu berceramah memberi penerangan mengenai PAS. Mereka ialah Ustaz Zakaria Awang Besar, Haji Sulaiman dan Ustaz Haji Hassan, Mudir Sekolah Kupang. Hasilnya, 11 orang ahli PAS telah berjaya didaftarkan selepas ceramah itu.

Antara cawangan yang awal menyusuli PAS Cawangan Bukit Besar ialah PAS Cawangan Bukit Aping (Bandar Baharu) dan PAS Cawangan Sungai Korok, Alor Setar yang ditubuhkan pada 1953. Kemudian PAS cawangan Kupang (1955), Kodiang (1955), Pinang Tunggal (1955), Alor Ganu (1956) dan Sik (1957). PAS Kedah juga berkembangan melalui sayap pelajarnya, Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) yang berpusat di Maktab Mahmud, Alor Setar. KPAK menjadi anggota gabungan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang sejak 1954 dipimpin oleh Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Dato’ Abu Bakar Umar ialah sahabat karib Ustaz Azahari Abdul Razak, mantan Pesuruhjaya PAS Kedah (1987-1991) semasa belajar di India namun dalam jurusan yang berbeza iaitu Sains Politik. Pada era beliaulah bermula perkembangan PAS Kedah secara lebih agresif dengan kemasukan keahlian dengan pelbagai latarbelakang akademik dan profesyen. Oleh kerana untuk memudahkan urusannya berulang alik antara Alor Setar ke Guar Chempedak yang jaraknya agak jauh, beliau telah mengusulkan untuk memindahkan pejabat Pas Kedah ke Alor Setar.

Fenomena menarik Ketika itu, kempen pilihanraya PAS boleh dilakukan di sekolah, balairaya dan masjid. Di atas kekuatan ini, PAS Kedah mula menyertai Pilihan Raya Umum pada 27 Julai 1955 dengan cadangan meletakkan dua calon iaitu di Kota Star dan Kedah Selatan. Walau bagaimanapun, PAS hanya bertanding di kawasan Kedah Selatan melalui Ustaz Mohd Salleh Shafie, tetapi tewas dengan majoriti 19,487 undi. PAS menarik diri di Kota Star kerana menghormati Tunku Kassim Sultan Abdul Hamid, Tengku Laksamana Kedah yang menjadi calon Perikatan .

Pas Kedah telah banyak bertukar kepimpinan utamanya dengan dimulai pada 26 November 1954, Yang Dipertua PAS Cawangan Bukit Besar, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang pertama selama sembilan tahun, sebelum diganti oleh Ustaz Dato’ Abu Bakar Umar (1963-1975 dan 1977-1982), Ustaz Ismail Kassim (1975-1977), Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor (1982-1987 dan 1991-2000), Ustaz Azahari Abdul Razak (1987-1991), Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak (2000-2013), Dato’ Mahfuz Omar (2013-2015)*kemudian mengisytihar keluar daripada PAS, Ustaz Dr Ahmad Fakharuddin Sheikh Fakhurazzi 2015- 2019 dan kini dipimpin oleh mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah iaitu YB Senator Ustaz Ahmad Yahaya.

 

LIKU-LIKU PERJUANGAN PAS KEDAH

Perjuangan Kemerdekaan Tanah Melayu dan mengisi kemerdekaan dengan roh Islam telah dipelopori oleh PAS ulamak dengan tertubuhnya Parti Hizbul Muslimin pada tahun 1948 diketuai oleh Ustaz Abu  Bakar Al-Baqir di Gunung Semanggol. Hizbul Muslimim kemudiannya diharamkan oleh pihak British dan pemimpinnya disumbat ke dalam tahanan.

Tahun 1951, sekali lagi para ulamak dan cemdekiawan Islam berijtimak di Kuala Lumpur dan bersetuju menubuhkan sebuah parti Islam yang baru bagi menyambung perjuangan Hizbul Muslimin.

24 November 1951, parti itu secara rasminya ditubuhkan di Butterworth dengan nama Persatuan Islam SeMalayasia. Tuan Guru Haji Yahya Junid turut sama dalam usaha penubuhan itu.

Awal tahun 1952, kira-kira 4 bulan selepas penubuhannya,  Cawangan Pas pertama di Kedah ditubuhkan di Bukit Besar yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Osman Al-Yunusi ( Pak Man Bukit Besar).

Cawangan berikutnya di Bukit Aping, Bandar Bharu yang diketuai oleh Ustaz Ghazali Haji Mohammad. Tuan Guru Haji Osman dilantik menjadi pesuruhjaya pertama dan Ustaz Karim Hasan sebagai Setiausaha dan dibantu oleh guru-guru pondok di situ.

Penyebaran Dakwah PAS

PAS didukung oleh para Ulamak dan golongan berpendidikan islam. Golongan ulamak dihormati dalam masyarakat. Bila PAS dikembangkan oleh para Ulamak, maka masyarakat mudah menerimanya. Pondok-pondok pengajian menjadi tempat penyebaran dakwah PAS. Sebab itu disebelah Utara Kedah lebih ramai menyokong PAS jika dibandingkan dengan di sebelah Selatan kerana di Utara Kedah banyak pondok-pondok pengajian. 

Pilihanraya Pertama

Pilihanraya persekutuan pertama diadakan pada 27 Julai 1955 di 52 kawasan di seluruh Tanah Melayu. PAS turut bertanding di 11 kawasan.Satu daripadanya di Kedah iaitu di Kedah Selatan. Calonnya Salleh Shafie.

Perikatan UMNO, MCA, MIC memenangi 51 kerusi dan PAS menang 1 kerusi di Kawasan Kerian ( Parit Buntar) iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Husain mengalahkan calon perikatan Haji Sulaiman Palastin. Walaupun Cuma menang satu kerusi, namun ia memberi kesan kepada perkembangan PAS di seluruh negara.

Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain dan Dr. Burhanudin di bawa ke Kedah bagi menyampaikan syarahan-syarahan mereka. Menjelang pilihanraya umum 1959 PAS Berjaya ditubuhkan di setiap daerah.

Pilihanraya Umum 1959

Pilihanraya umum pertama selepas Kemerdekaan ialah pada tahun 1959. Pada masa itu saya mengajar di sekolah Kebangsaan Lengkuas dalam dun Langgar Limbong. Ditugaskan menjadi penolong setiausaha ranting di kampung itu. Ketuanya Haji Khalid Lebai Man.

Kami dipanggil menghadiri kursus pilihanraya di Madrasah Nadhoh, Bukit Besar. Penyampai kursusu ialah Haji Ahmad Shukri dan Cikgu Ahmad Din. Inilah pengalaman kerja -kerja pilihanraya yang saya alami.

Dato Abu Bakar Umar bertanding di Dun Langgar Limbong. Para petugas PAS di Dun Langgar Limbong terdiri daripada Tuan Guru Haji Abdullah Kecik, Tuan Guru Haji Hashim, Tuan Gur Haji Ali Tualang dan lain-lain.

Ranting Kampung Lengkuas ini ditubuhkan dalam tahun 1968, dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Osman Al-Yunusi. Turut berucap malam itu ialah Ustaz Karim Hasan , Setiausaha Perhubungan.

Di kedah terdapat 12 kawasan parlimen dan 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Mengikut perlembagaan Pas setiap satu DUN itu ditubuhkan satu cawangan yang namanya mengikut nama DUN dandi setiap satu cawangan boleh ditubukan beberapa banyak ranting. Dalam pilihanraya tersebut PAS  bertanding di 10 daripada 12 kawasan Parlimen dan di 23 daripada 24 kawasan DUN.

Pas tidak memenangi sebarang kerusi sama ada Parlimen atau DUN di Kedah. Pas mendapat 45,974 undi atau 23.1% manakala perikatan mendapat 138,560 undi atau 71.1%. Undi rosak 4% dan selebihnya didapati oleh Parti laun.

Sebaliknya Kelantan dan Terengganu dapat dikuasai oleh PAS. Di seluruh negara PAS menang 13 kerusi Parlimen dan 42 Kerusi DUN. Antara Tokoh ulamak PAS yang memenangi kerusi parlimen ialah Dr. Burhanudin, Prof. Zulkifli Mohammad, Dato Mohd Asri Muda, Khatijah Sidek, Dato Raja Abu Hanifah, Osman Abdullah dan Hasan Adli. Dato Onn Jaafar dari Parti Negara menang di Terengganu.

Kemenangan Pas di Kelantan dan Terengganu memberi kesan kepada PAS di negeri-negeri lain termasuk Kedah. Majlis-majlis kesyukuran diadakan di mana-mana. Pemimpin-pemimpin yang menang dijemput memberi syarahan. Inilah budaya orang PAS sejak dahulu hingga sekarang.

 Penceramah Utama

Di antara penceramah-penceramah berpengaruh di Kedah waktu itu ialah Tuan Guru Haji Osman Al-Yunusi, Haji Husain Dol, Haji Yahya Junid, Haji Abdullah Abas, Haji Ahmad Shukri, Cikgu Ahmad Din, Dato Abu Bakar Umar, Jais Anwar, Fadzil Noor, Budiman Razi, Rashid Azahari, Ustaz Ghazali Haji Mohammad , Haji Ramli Abdullah dan ramai lagi. Selain mereka di setiap cawangan , daerah terdapat penceramah tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Pilihanraya Umum 1964

Tahun 1963 Malaysia dibentuk di mana Singapura, Sabah dan Sarawak diberi Tanah Melayu dan dinamakan Malaysia. Tahun 1965, Singapura dikeluarkan dari Malaysia kerana Parti PAP di bawah pemimpin Lee Kuan Yew menjadi ancaman kepada MCA & MIC.

Pembentuksn Malaysia mendapat tentanagan daripada Indonesia dan Filipina. Indonesia melancarkan konfrotasi ke atas Malaysia dalam pilihanraya 1964, UMNO menggunakan isu memfitnah PAS kononya PAS bekerjasama dengan Indonesia. Menjelang hari mengundi  Umno menabur risalah di merata-rata, kononya Dr. Burhanuddin menjadi tali barut Indonesia dan dituduh menerima wang dari Indonesia. Sebenarnya fitnah bahawa pihak pembangkan menjadi alat pihak asing yang digunakan oleh Dr. Mahathir sekarang bukanlah perkara baru. Ia adalah idea lama yang Cuma diberi nafas baru. Isu ini berkesan pada waktu itu dan Pas gagal memenangi sebarang kerusi di Kedah walaupun bertanding di 12 kawasan parlimen dan 21 DUN.

Menghadapi Pilihanraya Umum 1969

Mulai tahun 1996, persiapan awal pilihanraya dibuat. Kursus-kursus pentadbiran dijalankan dijalankan. Tamrin anjuran perhubungan dan pemuda juga beberapa kali diadakan. Kursus-kursus pilhanraya turut diadakan. Sebagai pengarah Bilik Gerakan, saya menyediakan system dan pelan bertindak untuk diberikan kepada petugas di cawangan seluruh Kedah. Inilah julung kali Pas mengadakan satu system Bilik Gerakan Pilihanraya.

Ceramah Pas amatmenggalakkan. Dato’ Asri , Abu Bakar Hamzah, Pak Yazid Jaafar cukup popular pada masa itu. Puluhan ribu dating mendengarnya.

Pejabat Perhubungan PAS kedah bermula di Madrsah An-Nadhoh Bukit Besar, iaitu sejak penubuhannya. Kemudian berpindah ke Guar Chempedak dan Ke Alor Star (Jalan Telok Wanjah)

Pada waktu itu, Dato Abu Bakar Umar adalah Pesuruhjaya merangkap Pengarah Pilihanraya. Ustaz Azhari sebagai setiausahanya yang Menarik pada waktu itu orang ramai berebut-rebut membeli poster pilihanraya secara runcit di Pejabat Perhubungan.

Ustaz Fadzil Noor baru pulang dari Mesir dan bertugas di Maktab Mahmud turut dilantik sebgai AJK perhubungan PAS kedah. Pilihanraya ini menyaksikan PAS berhadapan dengan Pemuda Tahan Lasak UMNO.

Hari mengundi jatuh pada 10 Mei 1969. Di Kedah, Pas Menang 8 daripada 24 kawasan Dun dan 3 daripada 12 kawasan parlimen. DrMahathir Mohammad Kalah dengan Haji Yusuff Rawa di Kota Setar Selatan. Dato’ Senu Abdul Rahman kalah ditangani Dato Abu Bakar Umar dan Tan Sri Zahir Ismail kalah ditangani Haji Mawardi.

Peristiwa 13 Mei

Peristiwa ini tercetus kerana Umno tidak dapat membentuk kerajaan di perak dan Selangor. Akibat kemenangan besar pembangkang di kedua-dua buah negeri tersebut, menyebabkan berlaku pertembungan antara pelampau Umno dengan pelampau Cina. Darurat diisytiharkan. Perlimen dan dewan negeri digantung. Malaysia diperintah oleh Majlis Gerakan  (MAGERAN) sehingga Februari 1971.

Pada tahun 1972 Pas menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan setelah Muktamar Khas meluluskannya. Sungguhpun begitu ramai dikalangan ahli Pas di Kedah tidak bersetuju. Antaranya ialah Ustaz Azahari Abdul Razak. Beliau meletakkan jawatan sebagai setiausa Perhubungan dan menyisihkan diri dari Pas. Dua ADUN Pas dilantik menjadi exco kerajaan negeri iaitu Dato Abu Bakar Umar dan Ismail Kasim. Apabila Dato  Abu Bakar dilantik menjadi Timbalan Menteri Kesihatan, tempatnya diganti oleh Haji Harun Jusuh.

Pilihanraya Umum 1974

Menjelang Pilihanraya Umum tersebut PAS menyertai BN. PAS bertanding di 9 daripada 26 kawasan DUN dan 3 daripada 13 kawasan parlimen kerana persempadanan semula Kawasan pilihanraya. Terdapat calon bebas dari kalangan penyokong PAS yang tidak setuju PAS menyertai BN, bertanding melawan calon PAS. Walaubagaimana pun semua calon PAS bertanding itu menang belaka.

Pembukaan Rasmi Bangunan

Bangunan PAS Kedah yang ada sekarang dirasmikan oleh Dato Asri Yang Dipertua Agong PAS pada 21.6.76. Bangunan ini mula dibina pada 1968 dan mula digunakan tahun 1971. Dato Abu Bakar Umar mendapat idea membina bangunan setelah menghadiri perasmian bangunan PAS Kelantan tahun 1965. Bangunan ini dibina hasil derma dari ahli-ahli PAS selama beberapa tahun.

PAS Dikeluarkan dari BN

PAS dikeluarkan dari BN pada tahun 1977 kerana wakil-wakil Pas menentang usul di Parlimen untuk mendaruratkan negeri Kelantan. Kelantan didaruratkan kerana berlaku tunjuk perasaan yang didalangi oleh UMNO kerana PAS Kelantan hendak menukar Menteri Besarnya kepada Timbalan Menteri Besar. Selepas menentang usul tersebut, Majlis Tertinggi BN mengadakan mesyuarat dan memecat PAS daripada BN.

Usul Tidak Percaya

Ekoran pemecatan dari BN, Pas Kedah mengemukakakn usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Kedah Dato Syed Ahmad Shahabudin. Ustaz Harun Jusoh menjadi jurucakap PAS. Pada masa itu Dato Haji Mohd Muslim adalah anggota Exco Kerajaan Kedah dari BN. Usul yang dibawa oleh Pas itu bagaimanapun kalah.

 Pilihanraya Umum 1978

Dalam pilihanraya umum ini PAS bertanding bersendirian. Ahli dan penyokong PAS yang mendiamkan diri selama PAS berada dalam BN dulu kembali aktif. Setelah gerakan pemulihan dilakukan, pemimpin turun memberi penjelasan ke peringkat akar umbi. Ceramah PAS mendapat sambutan. Pas pulih seperti sediakala. Ustaz Fadzil Nor turut bertanding dalam dalam pilihanraya di Kawasan  DUN Alor Merah yang terletak dalam Kawasan parlimen Kuala Kedah. Akibat dari penyertaannya dalam pilihanraya, Ustaz Fadzil dipercayai dipecat dari jawatan pensyarah UTM.

Demonstrasi pada tahun 1980

Tahun 1980 berlaku demonstrasi padi dimana petani-petani berkumpul di Wisma Negeri menuntut kenaikan harga padi. Siapa yang mendalangi demonstrasi ini tidak diketahui tetapi ramai aktivis Pas ditahan di bawah ISA.

Antaranya Ustaz Osman Marzuki, Ahmad Awang, Ismail Ahmad, Ustaz Halim Arshat, Solahuddin Mansor, Ahmad Shukri Hj Wahab, Ismail Abdul Rahman, Cikgu Yaakob Ahmad, Ismail Jaafar, Saad Md Saman, Ibrahim Ahmad ( Pak Cik Ibrahim) dan beberapa ortang lagi.

Pertukaran Beramai-ramai Guru

Selepas pilihanraya Umum 1978 BN mengambil tindakan menukar beramai-ramai guru-guru Pas keluar dari negeri Kedah. Antaranya ialah Cikgu Abdul Wahab Abdul Rahman, Cikgu Baharom, Cikgu Abdul Rahman Zakaria, Cikgu Haji Hashim, Cikgu Ahmad Saleh, Cikgu Ibrahim, Cikgu Ahmad, Cikgu Md. Zain, Cikgu Ahmad Abd Rahman, Cikgu Ali Ahmad, Cikgu Yaakob Yahya dan Cikgu Yaakob Ahmad dan ramai lagi yang menerima nasib yang sama.

Polis balas dendam UMNO dulu dan sekarang sama sahaja. Dalam buangan mereka terus bergiat dalam PAS. Perkembangan PAS negeri tersebut sebahagiannya adalah dari sumbangan mereka yang ditukarkan itu.

 Pilihanraya Kecil DUN Bukit Raya

Dalam suasana isu demonstrasi padi belum selesai. Allahyarham Ismail Kasim (1980) meninggal dunia. Pilihanraya Kecil dijalankan Pas meletakkan Ustaz Fadzil Noor sebagai calon. Calon BN, Safirol Hisham menang dengan majoriti tipis.

Selepas pilihanraya kecil ini Cikgu Hussain Shariff, Lunas, yang ditugaskan menjadi Penolong Pengarah Pilihanraya Kecil PAS ditahan di bawah ISA selama dua bulan.

 Pilihanraya Umum 1982

Diadakan pada 22 April 1982. Tidak ada isu-isu besar boleh dimainkan dalam pilihanraya demonstrasi tersebut. Pas memenangi 2 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen. Ustaz Fadzil menang di DUN Bukit Raya. Dato Abu Bakar Umar di Parlimen Kota Setar. Said Yassin yang memenangi DUN Langgar akhirnya masuk UMNO.

Peristiwa Memali

Dalam Pilihanraya Umum 1982, Ustaz Ibrahim Libya betanding di DUN Bayu menentang calon BN, Raja Ariffin Raja Sulaiman. Walaupun kalah namun pengaruh Ustaz Ibrahim di Kawasan ini masih kuat, setelah beliau membuka Madrasah Memali. Ramai murid-muridnya di kalangan orang tua-tua dan kanak-kanak dari sekitar Kampong Memali belajar di Madrasah tersebut. Pemimpin UMNO baling  risau ianya boleh menggugat pengaruh UMNO. Atas desakan pemimpin tertentu UMNO Baling, Ustaz Ibrahim mahu dikenakan ISA. Akhirnya kerajaan bertindak. Maka berlakulah peristiwa Memali pada bulan November 19885. Akibat dari perisiwa itu 14 orang termasuk Ustaz Ibrahim sendiri menjadi syahid. Di pihak polis 4 orang cedera. Selepas peristiwa itu 35 orang dikenakan tahanan ISA termasuk Sdr. Yusuf Husin.

 Peristiwa Rampasan Tanah Muassasah 1986

Tahun 1985, PAS Kedah memeli sebidang tanah seluas 35 Ekar di Batu 11 Pokok Sena, Kedah untuk dijadikan Komplek Pendidikan. Di atas tanah itu didirikan surau dan beberapa buah rumah. Tahun 1986, kerajaan merampas tanah tersebut. Ada maklumat mengatakan kerajaan akan merobohkan musalla yang didirikan di atas tanah itu.

Maka Pas Kawasan Padang Terap telah mengambil inisiatif mengawal Muassasah. Ahli-ahli Pas di Kawasan lain turut dating membantu. Demonstrasi menentang rampasan tanah itu diadakan di seluruh Kawasan. Pada masa itu Ustaz Fadzil berada di Mekah.

Beribu-ribu rakyat menyambut kepulangan Ustaz Fadzil di Lapangan Terbang Alor Setar. Malamnya ceramah akan diadakan di Muassasah. Puluhan ribu orang yang hadir.

Akhirnya kerajaan menjemput pemimpin PAS mengadakan rundingan untuk mengembalikan semula tanah yang dirampas itu. Setelah menjalani beberapa prosuder akhirnya tanah itu dikembalikan.

 Pilihanraya Umum 1986

Pilihanraya ini terdapat 14 kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN, hasil persempadanan semula pilihanraya 1982. PAS menang di 2 kerusi DUN dan tidak memenangi kerusi Parlimen akibat persempadanan semula ini.

Operasi Lalang 1987

Tahun 1987 – berlaku perbalahan antara pemimpin UMNO dan MCA atas isu perkauman. Walaupun isu tersebut tidak melibatkan PAS tetapi pemimpin-pemimpin PAS dan DAP pula yang ditahan. Di Kedah, yang menjadi mangsa ialah Ustaz Halim Arshat, Mahfuz Omar, Mohamad Sabu dan Yusof Husain.

Pilihanraya Umum 1990 dan 1995

Tahun 1987 – berlaku krisis dalaman UMNO menyebabkan UMNO diharamkan. Wujud parti Semangat 46 serpihan dari UMNO dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Semangat 46 bekerjasama dengan PAS atas nama Angkatan Perpaduan Ummah.

PAS memasuki pilihanraya umum 1990. Di Kelantan APU dapat merampas semula Kelantan dari tangan BN tapi di Kedah APU tidak memberi sebarang kesan. Malah PAS menang hanya 1 kerusi DUN sahaja di Bukit Raya. DUN Sala Diwakili oleh ustaz Azizan Razak dan Bukit Raya masih diwakili Ustaz Fadzil Noor.

Pilihanraya Umum 1999

Peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan UMNO pada tahun 1998 mencetuskan suatu pergolakan politik dalam negara. Penyokong Anwar Ibrahim menubuhkan parti Keadilan Nasional (KeAdilan). Pimpinan PAS mengambil inisiatif menyatukan kumpulan-kumpulan pembangkang dalam satu pakatan dinamakan Barisan Alternatif. Melalui pakatan ini dalam pilihanraya umum 1999 PAS Berjaya mempertahankan Kelantan dan dapat merampas Terengganu daripada BN.

Di Kedah PAS memenangi 12/36 kerusi DUN dan 8/15 kerusi parlimen.

Dato’ Fadzil – Presdien PAS dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Pemimpin dan Sumbangan mereka

PAS Kedah di bawah pimpinan Dato’ Abu Bakar Umar dan pimpinan seangkatan dengannya meninggalkan kepada kita Bangunan PAS Kedah di Jalan Kota, Alor Setar.

Di bawah Dato’ Fadzil Noor terbinanya Komplek Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena.

Di bawah kepimpinan Ustaz Azizan Abd. Razak, pembinaan Kompleks PAS Kedah di Batu 9, Kota Sarang Semut seluas 11 relong serta pembelian 93 relong bendang untuk faedah Pendidikan di Muassasah Darul Ulum.