Sejarah pembinaan Kompleks PAS Kedah

Sejarah pembukaan pejabat pentadbiran PAS Kedah telah diusahakan seawal tahun 1951 seiring dengan penubuhan PAS di negeri Kedah.

Tuan Guru Osman Al Yunusi atau lebih dikenali sebagai Pak Man Bukit besar yang diamanahkan selaku Pesuruhjaya PAS Kedah yang pertama telah mengizinkan madrasah pengajian yang diasaskan oleh beliau iaitu Pondok Bukit Besar sebagai pejabat pentadbiran dan urusan mesyuarat parti.

Kemudian itu, atas faktor lokasi yang lebih strategik, PAS Kedah Ketika itu memilih untuk menyewa sebuah rumah di pekan Guar Chempedak untuk dijadikan sebagai pejabat pentadbirannya yang baru dan lebih mudah untuk diakses.

Pada tahun 1964, Dato’ Ustaz Abu Bakar Umar yang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru telah menyewa sebuah premis  di Bandaraya Alor Setar bertujuan memindahkan pejabat pentadbiran  PAS Kedah yang baru ke sana. Ianya bersesuaian dengan kedudukannya sebagai ibu negeri Kedah disamping berhampiran dengan segala urusan pentadbiran kerajaan.

Pada tahun 1970, PAS Kedah terus mengorak langkah untuk membina sebuah bangunan pentadbirannya di bandaraya Alor Setar. Ini kerana PAS Kedah melihat peri pentingnya syiar Parti berada di lokasi jantung pentadbiran negeri serta menjadi asset harta parti yang tidak ternilai .

Sehubungan itu, Pelbagai kempen dan usaha giat dilakukan bagi memperolehi sumbangan dana daripada ahli dan orang ramai.

Akhirnya, sebuah bangunan 3 tingkat bernilai RM 173,000 tersergam gah di Jalan Sultan Badlishah yang kini dikenali sebagai Jalan Kota. Ianya telah dirasmikan oleh Dato’ Mohd Asri Muda selaku Yang DiPertua PAS Ketika itu.

Masa terus berlalu, perkembangan PAS di Kedah amat memberangsangkan dengan penambahan cawangan, ahli dan pelbagai aktiviti, secara tidak langsung, ini menimbulkan kesesakan dan kepayahan ahli untuk berhimpun bagi menghadiri akitiviti parti khususnya di bangunan pejabat PAS di tengah bandaraya alor setar yang juga pesat membangun,

Menyedari hakikat ini, Pada Tahun 2002, PAS Kedah yang dipimpin oleh Almarhum Tan Sri Ust Azizan Abdul Razak telah membeli sebidang tanah seluas 8 ekar berhampiran pekan Kota Sarang Semut yang jaraknya hanyalah 13KM dari Bandaraya Alor Setar dengan harga RM390 ribu sebagai satu perancangan jangka panjang pembinaan Kompleks PAS Kedah yang lebih luas dan selesa.

Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor yang ketika itu merupakan Presiden PAS.telah melakukan upacara pecah tanah pembangunan kompleks ini dalam satu program yang gilang gemilang.

Setelah diamanahkan selaku tuan rumah Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-52 pada tahun 2006, pembinaan Kompleks PAS Kedah terus berlaku dengan lebih drastik dengan pembinaan banyak fasiliti seperti Dewan utama, pejabat pentadbiran sementara, pembinaan Masjid yang diberi nama Masjid Osman Al-Yunusi di perkarangan luar kompleks, lot-lot niaga, tapak ceramah luar, tapak parkir, bangunan asrama anak yatim DAYA dan pejabat Jabatan Pilihanraya  untuk melengkapkan Kompleks PAS Kedah yang dianggarkan bernilai lebih RM5 juta Ketika itu.

Sempena kehadiran Muktamar ke bumi Jelapang Padi itu juga, PAS Kedah mengambil kesempatan untuk membuat majlis perasmian Kompleks ini, yang telah disempurnakan oleh Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Musyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan pada 2 Jun 2006.

Ia juga sebagai simbol pelancaran kutipan dana fasa ke 2 untuk memacu pembinaan bangunan pejabat pentadbiran PAS Kedah yang baru.

Pada tanggal 18 Mei 2015, setelah hampir 10 tahun pergerakan kutipan dana fasa 2 tersebut, Presiden PAS, YB Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan majlis pecah tanah bangunan pentadbiran ini.

Maka, dengan termeterainya majlis tersebut, PAS Kedah bakal memiliki bangunan pentadbiran setinggi 6 tingkat yang mengandungi pusat pentadbiran berpusat, bilik penginapan tetamu, Dewan seminar dan Mesyuarat, Studio rakaman, Kafetaria serta galeri pameran dilengkapi prasarana dan kemudahan yang sofistikated sesuai dengan tuntutan zaman.Di samping itu juga, terdapat Masjid, asrama anak Yatim dan sebuah mini Stadium bagi melengkapkan sebuah Kompleks pentadbiran berpusat bagi PAS Negeri Kedah.