Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia atau KHIDMAT Malaysia merupakan badan pengurusan penyelamat, bantuan dan pemulihan bencana dan kecemasan yang ditubuhkan oleh Parti Islam Se-Malaysia. KHIDMAT Malaysia kini diketuai oleh Ketua Pengarah, Datuk Iskandar Abdul Samad dan dibantu oleh dua orang Timbalan Ketua Pengarah, Ir Muhtar Suhaili dan Tuan Haji Hussin Ismail.
KHIDMAT ditubuhkan pada tahun 2014 dengan nama Malaysia Emergency & Disaster Management (MEDM). Pengarah pertama MEDM ialah Salahuddin Ayub. MEDM kemudiannya ditukar nama kepada Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia dengan singkatan, KHIDMAT dan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Motto KHIDMAT
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH”
Visi KHIDMAT
Menjadi organisasi pengurusan penyelamat (rescue), bantuan (relief) dan pemulihan (rehabilition) bencana dan kecemasan yang terkehadapan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Misi KHIDMAT
Menjadi organisasi pilihan yang dipercayai dan diyakini di dalam pengurusan bencana dan kecemasan – Mewujudkan pasukan profesional dalam mengendalikan bencana dan mengurus kecemasan yang sentiasa prihatin, bersiap siaga, terkehadapan dan efektif. – Mewujudkan gerak kerja yang cekap, mahir dan berkesan dalam pengurusan sumber manusia, aset, maklumat dan kewangan. – Membawa kesejahteraan kepada umat sejagat.
Organisasi KHIDMAT
Di bawah KHIDMAT terdapat beberapa unit operasi iaitu Unit Rescue, Relief, Rehabilitation (3R), Unit Pengurusan Sumber Manusia & Latihan, Unit Telekomunikasi, Unit Logistik & Aset, Unit Kesihatan & Kaunseling, Unit Dana & Kewangan, Unit Research & Development, dan Unit Operasi & Bilik Gerakan. .