Jabatan Amal berjaya baikpulih bekalan air untuk penduduk terjejas

Jabatan Amal berjaya baikpulih bekalan air untuk penduduk terjejas

GURUN – Petugas jabatan Amal hari ini berjaya melakukan baikpulih sistem perpaipan bekalan air yang terputus untuk penduduk kampung ekoran tragedi “Kepala Air” Gunung Jerai pada hari Rabu lalu.

Pengarah program, Mohd Nakhaie Hassan berkata bekalan air tersebut untuk menampung 30 buah rumah di Kampung Sungai Badak yang terletak di kaki Gunung Jerai, di sini.

“Seramai 150 orang petugas Jabatan Amal bertugas sejak awal pagi dalam suasana hujan serta laluan yang lecak dan licin untuk mengusung sembilan gulung paip PVC yang panjangnya 100 meter setiap satu naik ke sumber air bersih di puncak bukit,” katanya.

Menurut Nakhaie,”Petugas hari ini datang dari pelbagai negeri selain Kedah iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Perlis termasuk Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin yang turut serta berhujan bersama kami.”

Mengulas lanjut tentang kerja-kerja baik pulih tersebut, beliau menyatakan keseluruhan sistem bermula dari takungan sehinggalah saluran paip rosak dan hanyut dibawa arus deras pada kejadian tersebut jesteru memerlukan gentian sistem perpaipan yang baru.

“Oleh kerana ada lagi dua lokasi kerja baikpulih sistem perpaipan bekalan air penduduk yang perlu kami segerakan maka kolam takungan sementara sahaja yang kami usahakan untuk kali ini,” ujarnya.

“Takungan yang lebih baik akan kami usahakan secepat mungkin selepas semua proses bekalan dapat disalurkan semula kepada semua penduduk yang terjejas,” sambungnya lagi.

“Saya bagi pihak Jabatan Amal merayu sumbangan yang berterusan untuk menampung kos pembelian peralatan bagi sempurnakan misi bekalan air ini,” rayunya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam 02011010009300  atas nama Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah dan maklumkan mengenai sumbangan ke talian 013-415 0845 (Nakhaie)